PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan beberapa inisiatif melalui agensinya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dalam merealisasikan matlamat ketiga iaitu menyokong kelangsungan perniagaan susulan pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA +).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata SSM bakal memberikan perlanjutan masa 90 hari untuk syarikat dengan tahun kewangan berakhir 1 November 2020 Hingga 31 Januari 2021, mengedarkan penyata kewangan, mengadakan mesyuarat agung tahunan dan menyerah simpan penyata kewangan selain pengecualian RM100 fi permohonan lanjutan masa.

Beliau berkata, SSM juga memperkenalkan moratorium 30 hari selepas tamat tempoh sekatan pergerakan penuh bagi serah simpan dokumen berkanun bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dengan Fi lewat serah simpan dikecualikan.

Katanya, SSM juga mengurangkan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal bagi permohonan pembatalan nama syarikat mengikut Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016.

Agensi itu juga, katanya, akan mengecualikan kompaun kelewatan pembaharuan dan kelewatan pendaftaran perniagaan sehingga 31 Disember 2021.

Selain itu, beliau berkata, Geran Khas Prihatin dan Kemudahan Mikro Kredit yang diumumkan Perdana Menteri semalam disambut baik peniaga Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang terbabit dalam industri pembuatan dan pengedaran yang sekali gus akan meningkatkan prestasi perniagaan sama ada jualan terus mahupun dalam talian.

Katanya, KPDNHEP turut menyambut baik peruntukan PEMERKASA + bernilai RM1.5 bilion bagi melanjutkan Program Subsidi Upah selama satu bulan lagi, yang diyakininya bakal melegakan industri borong dan runcit seperti yang disasarkan.

“Pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak sepuluh peratus yang dilanjutkan selama tiga bulan antara Julai hingga September ini bakal membantu kedua-dua industri ini.

“Secara keseluruhannya, KPDNHEP yakin PEMERKASA+ akan menjadi pelengkap kepada program serta inisiatif sedia ada seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), dan PEMERKASA 1.0 dan, pastinya ini akan membantu mempercepatkan lagi pemulihan ekonomi negara di semua sektor dan industri khususnya melalui kelangsungan perdagangan domestik,” katanya.

Pada masa sama, Alexander berkata, kementerian itu akan terus mempertingkatkan pelaksanaan Inisiatif Ketiga iaitu penguatkuasaan perundangan yang ketat dan telus bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, sehingga semalam penguat kuasa KPDNHEP sudah melaksanakan pemeriksaan di 570,932 premis perniagaan di seluruh negara dengan pematuhan pada kadar 98.49 peratus.

Muhyiddin malam tadi, mengumumkan pelaksanaan PEMERKASA+ bernilai RM40 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara berikutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, ia membabitkan suntikan fiskal oleh kerajaan berjumlah RM5 bilion.

Katanya, pelaksanaan PEMERKASA+ menetapkan tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/823248/pemerkasa-ssm-laksana-inisiatif-bantu-peniaga-pks