PUTRAJAYA: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengarahkan pegawai Kementerian dan Agensi di bawah Kementerian agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Dr Khairuddin berkata sedemikian berikutan fitnah yang tular di media sosial. Menurutnya, fitnah ini bertujuan untuk menjejaskan nama baik dan reputasi beliau serta Agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Beliau berkata, kenyataan media telah dibuat untuk menjelaskan berkenaan isu fitnah ini dan laporan polis telah dibuat oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan LGM Properties Corporation (LGMPC). Pada masa yang sama barisan peguam telah mengeluarkan notis tuntutan guaman kepada pihak terbabit.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan LGM dan LGPMC dan pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi agar mengalu-alukan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan sewajarnya.” ujar beliau dalam kenyataan media pada hari ini.

Menurut beliau, arahan itu selaras dengan nilai integriti dan ketelusan yang selalu beliau tekankan kepada semua pegawai di Kementerian dan Agensi di bawahnya.