GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan vaksin COVID-19 untuk kegunaan kecemasan iaitu vaksin kedua buatan China yang menerima kelulusan itu.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sudah memuktamadkan kelulusan vaksin dua dos itu, yang kini sudah diedarkan ke beberapa negara di serata dunia.

WHO, dalam satu kenyataan hari ini, meluluskan vaksin COVID-19 Sinovac-CoronaVac untuk kegunaan kecemasan.

“Keputusan ini akan memberi keyakinan kepada negara, pembiaya, agensi perolehan dan masyarakat bahawa vaksin berkenaan memenuhi standard keselamatan, keberkesanan dan pembuatan antarabangsa,” katanya.

Bulan lalu, Sinopharm menjadi vaksin COVID-19 pertama buatan China yang mendapat kelulusan WHO.

Pertubuhan itu juga meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Pfizer/BioNTech, Moderna, Johnson & Johnson, dan AstraZeneca yang dihasilkan di India, Korea Selatan dan Kesatuan Eropah )EU).

Kelulusan WHO itu membuka jalan bagi negara di serata dunia untuk meluluskan dan mengimport vaksin berkenaan untuk diagihkan terutama negara yang tidak mempunyai standard piawaian sendiri.

Ia juga membolehkan vaksin itu menyertai program perkongsian vaksin global, COVAX, bagi membolehkan pengagihan saksama vaksin kepada negara miskin.

Menurut Penolong Ketua Pengarah (akses produk kesihatan) WHO, Mariangela Simao, kini hanya vaksin AstraZeneca dan Pfizer digunakan di bawah program itu.

“Dunia kini terdesak untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 bagi menangani masalah kekurangan akses di serata dunia.

“Justeru, kami menggesa pengeluar vaksin menyertai program COVAX, berkongsi pengetahuan, data dan menyumbang bagi mengawal pandemik ini.

Menurut AFP, selain di China, vaksin Sinovac kini digunakan di 22 wilayah di serata dunia termasuk Brazil, Indonesia, Mexico, Thailand dan Turki.

Kumpulan Pakar Penasihat Strategik WHO mengenai imunisasi sudah menyemak suntikan itu dan menerbitkan nasihat mereka berhubung penggunaannya.

“WHO mengesyorkan vaksin ini untuk dewasa berusia 18 tahun dan ke atas dengan tempoh penjarakan dua hingga empat minggu antara dos.

“Ujian keberkesanan vaksin menunjukkan ia mampu mengelakkan penyakit bagi 51 peratus yang menerima suntikan dan mencegah kesan teruk COVID-19 serta keperluan dimasukkan ke hospital dalam kalangan 100 peratus yang diuji,” katanya. – AFP