PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan Sidang Dewan Parlimen secara hibrid yang melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Langkah ini diambil bagi memastikan Parlimen akan dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.

Menteri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Bin Hassan berkata, suatu mesyuarat telah diadakan secara maya antara beliau selaku Menteri bertanggungjawab dengan hal ehwal Parlimen dengan kedua-dua Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang Di-Pertua bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

Menurut beliau, mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen Hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan Ahli-ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.

“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.” ujar beliau dalam kenyataan media hari ini.