PUTRAJAYA: Lembaga Getah Malaysia (LGM) memaklumkan bahawa perkhidmatan YB Dato’ Ahmad Nazlan sebagai Pengerusi LGM telah ditamatkan pada 14 April 2021 dan YM Raja Dato Idris Raja Kamaruddin dilantik menjadi Pengerusi LGM berkuat kuasa pada 15 April 2021.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, antara mandat utama yang diamanahkan kepada YM Raja Dato Idris ialah menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki oleh LGM, menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun yang lalu dan pelan strategik baru LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM.

“Selaku tokoh korporat yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan TDM Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, diharapkan pelantikan beliau bakal membawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik dan profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus Rabbani yang ditekankan oleh YB Menteri kepada semua Pengurusan Tertinggi KPPK serta agensi dibawahnya.” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.