New Delhi: Waris keluarga mangsa Covid-19 di India terpaksa melakukan pengecaman jasad orang tersayang daripada longgokan mayat di dalam beg plastik.

The Independent melaporkan, ahli keluarga seorang lelaki berusia 47 tahun yang meninggal dunia kerana Covid-19 diberitahu oleh kakitangan untuk memasuki bilik mayat untuk pengecaman identiti sebelum membawa pulang jasad waris mereka.

Dekan Hospital Kerajaan Theni K Vilakku di selatan Tamil Nadu, Balaji Nathan mengesahkan insiden itu kepada The Independent.

Beliau mengakui insiden itu sangat menyedihkan apabila waris keluarga dibiarkan trauma mencari di sebalik longgokan mayat demi mencari orang yang mereka cintai.

Kes Covid-19 di India mengejutkan dunia apabila mayat korban pandemik itu dibuang dari jambatan oleh kaum keluarga.

Dalam pada itu, gambar 11 mayat yang dibungkus dalam beg plastik itu menggemparkan pengguna media sosial.

Beberapa mayat dibungkus dengan sangat buruk sehingga bahagian tubuh terkeluar dari beg mayat.

Selain itu, ahli keluarga juga terpaksa menguruskan mayat tanpa menggunakan alat pelindung diri, bertentangan dengan protokol kesihatan.

Nathan menjelaskan seorang petugas biasanya dibenarkan masuk untuk menyelesaikan urusan mayat.

Tetapi bilik mayat itu penuh sesak dengan longgokan mangsa terkorban malam sebelumnya.

“Dua petugas bilik mayat dan satu petugas keselamatan membiarkan anggota keluarga berada di bilik mayat. Ruangannya sangat kecil,” katanya.

Dia mengaku keadaan itu adalah kelalaian dari aspek keselamatan.

India masih bertungkus lumus bergelut gelombang kedua yang melumpuhkan fasiliti kesihatan negara itu.

Setakat ini, negara itu merekodkan 28,574,350 kes Covid-19 dengan 340,702 kematian.

SUMBER: HARIAN METRO