Kuala Lumpur: Seramai 81 etnik Rohingya yang mendarat di pesisir pantai Kuala Simpang Ulim, Simpang Ulim, Acheh Timur, Indonesia kelmarin dipercayai pelarian sama yang diselamatkan pengawal pantai India di Laut Andaman, Februari lalu.

Sumber memberitahu Harian Metro, pelarian berkenaan diberi makan dan minum serta dijaga kebajikan mereka sebelum dilepaskan menggunakan kapal jenis feri.

“Kumpulan pelarian itu dipercayai hilang arah sebelum ditemui nelayan tempatan Acheh Timur dan mendarat di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diterima juga, kumpulan itu dipercayai tidak melalui perairan Malaysia dan terus ke Acheh Timur bagi mencari daratan,” katanya.

Menurutnya, kapal pelarian Rohingya tidak masuk ke perairan Malaysia memandangkan tiada sebarang pertemuan berlaku antara pihak berkuasa Malaysia dengan mereka.

“Cuma tidak dapat dipastikan sama ada benar terdapat ‘motherboat’ di kawasan sempadan perairan negara jiran atau tidak.

“Berdasarkan maklumat dan penampilan pelarian berkenaan, kemungkinan mereka tidak berada lama di laut dan mempunyai bekalan makanan yang mencukupi,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meningkatkan kesiagaan dengan mengatur gerak aset-aset maritim berdekatan perairan antarabangsa serta pemantauan radar dan aset udara bagi mengesan sebarang pergerakan bot-bot yang mencurigakan.

“APMM akan meningkatkan kawalan dan memberi lebih tumpuan kepada mana-mana bot yang dilihat mencurigakan serta pemeriksaan yang lebih terhadap bot-bot nelayan tempatan.

“Aset helikopter AW 139 sudah berada di Pulau Langkawi sejak semalam dan akan beroperasi dari sana untuk beberapa hari bagi tujuan pengawasan lebih ketat terutama pengawasan pada waktu malam,” katanya.