RIYADH: Ancaman mutasi COVID-19 dan ketidaktentuan bekalan vaksin antara faktor kelewatan pengumuman ibadah haji oleh kerajaan Arab Saudi, menurut Menteri Perdagangan merangkap pemangku Menteri Media, Majid Al-Qasabi.

Bagaimanapun Al-Qasabi memberi jaminan perincian mengenai pergerakan jemaah haji dan prosedur operasi standard (SOP) serta protokol mengenainya akan diumumkan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Haji dan Umrah negara itu dalam tempoh terdekat.

Sementara itu pada sidang media yang sama semalam, beliau menjelaskan 40 peratus penduduk di Arab Saudi sudah divaksinasi walaupun vaksinasi tidak diwajibkan di negara itu, lapor Saudi Gazette.

“Jika kita mahu hidup bersama, pergi ke pasar dan sekolah serta ke tempat kerja, kita sepatutnya mengambil vaksin,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 15 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada penduduk di Arab Saudi.

Bulan lalu, media melaporkan Arab Saudi dijangka membenarkan ibadah haji tahun ini, dengan mengenakan beberapa syarat khas bagi melindungi daripada penularan pandemik COVID-19.

Kementerian Haji dan Umrah dipetik sebagai berkata perbincangan sedang dilakukan bagi membolehkan umat Islam menunaikan ibadah itu buat pertama kali tahun ini sejak wabak itu melanda.

Menurut laporan itu, antara perkara yang dibincangkan adalah membenarkan sejumlah kecil jemaah menunai ibadah haji dengan peraturan kesihatan yang ketat bersama langkah berjaga-jaga.

“Keputusan itu berdasarkan kesungguhan kerajaan untuk membenarkan tetamu di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi menunaikan haji dan umrah.

“Kerajaan sentiasa meletakkan kesihatan dan keselamatan jemaah sebagai perkara utama,” menurut kementerian itu.

Ibadah haji tahun ini dijangka bermula 17 Julai ini. – AGENSI