BADHOEVEDORP: Hakim Belanda dijangka memulakan perbicaraan terhadap tiga suspek warga Russia dan seorang rakyat Ukraine yang dituduh menembak jatuh pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) pada 2014, dengan mendengar bukti hari ini.

Perbicaraan secara rasmi bermula Mac tahun lalu tetapi setakat ini masih di peringkat hujahan perundangan terutama mengenai penerimaan bukti berkaitan nahas yang mengorbankan 298 penumpang termasuk kru pesawat.

Empat suspek terdiri daripada tiga warga Russia, Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko, dibicarakan tanpa kehadiran. Hanya Pulatov diwakili peguam.

“Mahkamah akan dibuka untuk perbicaraan jenayah MH17 dengan sewajarnya dan menerusi penelitian dan perbincangan kandungan fail pendakwaan, menjelaskan pertanyaan penting yang sudah mula ditangani.

“Adakah pesawat MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpanduk BUK? Adakah peluru berpandu BUK dilancarkan dari ladang pertanian berhampiran Pervomaiskyi? Adakah tertuduh berperanan dalam hal ini?,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Pesawat jenis Boeing 777 dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine, wilayah dikawal pemberontak pro-Russia.

Siasatan antarabangsa membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu BUK yang dimiliki Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Russia, berpusat di bandar Kursk bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Keempat-empat suspek dituduh sebagai dalang utama dalam kalangan kumpulan pemberontak pemisah yang berperang dengan Kiew. – AFP

– BERITA HARIAN