GEORGETOWN – Polis merampas 200 mesin bitcoin bernilai RM80,000 dalam serbuan di tiga premis rumah kedai di sekitar Jelutong di sini pada jam 12.30 tengah hari Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis turut menahan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun yang merupakan pekerja penyelenggaraan mesin tersebut.

Menurutnya, sebelum serbuan, polis menerima laporan daripada seorang penduduk di Jalan Perak yang mengadu terganggu dengan bunyi bising selain terasa bahang panas dipercayai daripada premis tersebut.

“Selepas menerima laporan, kita membuat serbuan pertama dan mendapati premis itu menjalankan kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin secara haram di situ. Turut ditahan empat lelaki tempatan untuk siasatan.

“Pemeriksaan di premis rumah kedai bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu juga mendapati sindiket tersebut melakukan penyambungan elektrik secara haram,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan pada Jumaat.

“Kedua-dua premis itu juga melakukan penyambungan elektrik secara haram. Siasatan mendapati, tindakan sindiket itu menyebabkan TNB menanggung kerugian sebanyak RM10,000 sebulan.

“Siasatan awal mendapati, sindiket ini telah menjalankan kegiatan haram mereka sejak beberapa bulan lalu dengan menjadikan premis-premis ini sebagai lokasi operasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat lelaki tersebut mengaku bekerja dengan seorang lelaki dengan bayaran RM3,000 sebulan setiap seorang.

“Salah seorang daripada mereka mengaku sudah bekerja sejak dua bulan lalu. Menurutnya, ketika dia mula bekerja semua mesin tersebut sudah berada di premis itu.

“Oleh itu, kita percaya sindiket ini beroperasi lebih dari dua bulan namun siasatan lanjut masih dijalankan. Salah seorang daripada mereka juga mempunyai dua rekod lampau iaitu mencuri,” katanya.

Dalam pada itu, Soffian berkata, polis masih mengesan dalang utama sindiket tersebut selain menjalankan siasatan di beberapa lokasi lain yang dipercayai dijadikan pusat operasi kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin secara haram.

“Keempat-empat suspek direman untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat penyambungan elektrik dan Seksyen 37 Akta Bekalan Letrik 1990 kerana menggunakan bekalan elektrik secara haram,” katanya.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/143717/BERITA/Semasa/Polis-rampas-200-mesin-bitcoin-bernilai-RM80000