CYBERJAYA – Pelan Pemulihan Negara amat penting dan kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan mengikut strategi yang telah dirancang.

Sehubungan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyeru seluruh rakyat bersama-sama kerajaan berganding bahu memerangi pandemik COVID-19.

“Kita pastinya merindui kehidupan normal yang kita lalui sebelum ini, bekerja seperti biasa, ziarah-menziarahi, balik kampung bertemu ibu bapa serta keluarga tersayang, beramah mesra bersama sahabat taulan dan perkara amalan kebiasaan selama ini.

“Marilah bersama-sama kita berusaha untuk mencapai 60 peratus populasi negara yang menerima dua dos suntikan vaksin supaya kita dapat mewujudkan imuniti kelompok supaya fasa peralihan dapat dilaksanakan paling awal pada akhir Oktober ini.

“Saya berdoa supaya kita semua diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk kita terus bangkit melawan COVID-19. Semoga Allah mengembalikan keadaan negara kita seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, strategi Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan kerajaan merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Beliau menjelaskan, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Mohd Khairuddin turut menyambut baik Pelan Pemulihan Negara seperti yang diumumkan oleh Muhyiddin semalam yang mengandungi empat strategi merangkumi empat fasa.