KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu sependapat, tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.

Itu antara tujuh pendapat dizahirkan secara terbuka dan terus terang oleh Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas baginda bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, semalam.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berkata Raja-Raja Melayu juga berpendirian pentingnya dihormati mekanisma semak dan imbang di antara cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutamanya dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Dalam semangat itu, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong, yang menitahkan supaya Parlimen bersidang segera.

“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan selepas sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Syed Danial berkata, kaedah dan prosedur yang diamalkan di beberapa negara terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan COVID-19, wajar ia diperkenan dan diguna pakai di negara ini.

“Adalah menjadi kewajipan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.

“Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan negara dan mendaulatkan undang-undang,” katanya.

Selain itu, Raja-Raja Melayu juga sependapat pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan,” katanya.

Syed Danial berkata, Raja-Raja Melayu juga sependapat, program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi supaya mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

“Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara lain. Program menangani wabak COVID-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

“Kaedah menangani wabak COVID-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, penambahbaikan dan penerokaan baru hingga berjaya meyakinkan dan mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat,” katanya.

Dalam Perbincangan Khas itu juga katanya, Raja-Raja Melayu turut mengambil maklum mengenai suasana politik negara yang tidak stabil, perpaduan rakyat yang semakin retak dan keadaan ekonomi negara yang membimbangkan.

“Kesusahan dihadapi rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Suasana pekerjaan, hidup dan pembelajaran di sekolah dan pusat pengajian yang terjejas dan menimbulkan pelbagai kerumitan.

“Umat Islam yang tidak dapat melakukan program ibadah di masjid dan surau terutama untuk menunaikan solat Jumaat, demikian juga penganut agama lain turut terhalang daripada berpeluang melakukan urusan agama masing-masing,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN