Sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) berkuatkuasa, kes perceraian di Malaysia merekodkan peningkatan luar biasa. Sebanyak 90,766 kes perceraian dalam tempoh Januari hingga Oktober 2020 didaftarkan di Mahkamah-Mahkamah Syariah. Menurut kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun sebanyak 5,260 kertas siasatan telah dibuka membabitkan kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.

Statistik yang dikeluarkan oleh pertubuhan Sister In Islam (SIS), kes keganasan rumah tangga tahun lalu direkodkan sebanyak 23 peratus jika dibandingkan ketika 2019 yang mencatatkan 15 peratus. Antaranya termasuk bentuk keganasan dialami adalah penderaan fizikal (37 peratus), penderaan psikologi (31 peratus), penderaan sosial (11 peratus), penyalahgunaan kewangan (16 peratus) dan keganasan seksual (lima peratus).

Baru-baru ini pula tular berita di Amman, Jordan, seorang suami melafazkan cerai terhadap isteri akibat tidak tahan dengan isteri yang telah tiga kali dijangkiti Covid-19.

Terlintas di fikiran kita “siapakah yang salah?”. Berikut dikongsikan punca-punca besar yang mendorong kepada statistik perceraian yang tinggi di musim PKP ini.

TERTEKAN AKIBAT BERKURUNG.

Tidak dinafikan berada di rumah sepanjang masa tanpa kebebasan untuk keluar, berhadapan dengan orang yang sama, perlu menguruskan keperluan dalam rumah seperti memasak, mengemas rumah dan menjaga anak yang masih kecil, dan pada masa yang sama terbeban dengan tugasan kerja bagi mereka yang bekerja dari rumah (work from home), sangat menguji kesabaran.

Akibat daripada hilang kesabaran, suami atau isteri akan cenderung untuk memberontak seterusnya bertindak selfish (buat hal masing-masing). Dalam tempoh itu, pasangan akan fokus dengan kerier masing-masing, tonton movie, video game, tidur, media sosial, mengumpat, bergosip, menfitnah, berkurung dalam bilik mengasingkan diri daripada ahli keluarga dan lain-lain merujuk kepada true colors masing-masing.

Lebih buruk lagi jika true color seseorang itu ialah keganasan serta ketagihan dadah. Keadaan ini boleh menjadi semakin teruk semasa PKP dalam keadaan mereka terkurung di dalam rumah. Hasilnya adalah pengabaian tanggungjawab suami, isteri dan lebih menyedihkan anak-anak kecil.


KEWANGAN.

Faktor ini adalah salah satu punca besar pergaduhan suami isteri kerana ia menjadi satu keperluan. Suami atau isteri yang bekerja sendiri amat terkesan dengan SOP yang menghadkan pengoperasian perniagaan seterusnya membawa kepada pendapatan yang kurang, hutang sewa, hutang gaji staf sehingga ada yang menutup tirai perniagaan. Tidak kurang juga yang hilang pekerjaan akibat pengoperasian yang amat terhad.

Pada fasa awal PKP mungkin suami isteri boleh bersabar namun siapa sangka pandemik ini akan berterusan hingga kini (setahun lebih) maka tidak mustahil ia menjadi barah dalam rumah tangga sehingga banyak kes tuntutan perceraian disebabkan masalah kewangan. Statistik di negeri Melaka misalnya mendapati golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menjadi penyumbang terbesar kes penceraian sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 yang lalu. Satistik menunjukkan, 30 peratus lagi adalah kumpulan profesional yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta yang pendapatannya tidak begitu terkesan akibat pandemik COVID-19.


Kembali kepada persoalan “suami atau isteri yang salah?”, jawapannya adalah kedua-dua pihak. Merujuk kepada faktor-faktor yang dikongsikan diatas, ada situasi suami berhenti kerja dan hilang punca pendapatan seterusnya isteri memendam perasaan menanggung kos perbelanjaan keluarga sehingga memberontak dan mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Ada juga situasi yang bertentangan, isteri diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan seterusnya suami memberontak dan mengabaikan tanggungjawab suami dan bapa.

Oleh itu, suami isteri perlu sama-sama kuat dan bersabar. Toleransi, komunikasi, perbincangan dan pengorbanan amat diperlukan bagi dua-dua pihak.

Situasi Pandemik yang kita hadapi kini hanya berlaku sesekali dalam sejarah dunia. Kita harus sedar bahawa kita sedang menjalani proses kehidupan yang tidak dialami oleh nenek moyang. Dengan itu kita tidak pernah diajar atau didedahkan mengenai perkara tersebut malah kita yang mencorakkan detik ini untuk generasi keluarga kita yang akan datang. Anggaplah ini sebagai motivasi untuk kita membina institusi keluarga yang terbaik walaupun dalam tempoh pandemik.

Allah S.W.T berfirman dalam Surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.