Perintah Kawalan Pergerakkan PKP ini sedikit sebanyak memberi kesan yang signifikan terhadap pasangan bercerai mahupun pasangan yang dalam proses perceraian.

Persoalan besar yang ingin dikongsikan ialah SIAPAKAH YANG LAYAK TERHADAP JAGAAN ANAK DALAM TEMPOH PKP?

Bagi menjawab soalan ini, kita perlu kembali kepada asas dan maksud Hadhanah itu sendiri iaitu PENJAGAAN ANAK DARI SEGENAP ASPEK KEBAJIKAN.

Jelas disini bahawa isu dan dendam antara pasangan tidak ada kena mengena serta tidak boleh dikaitkan dalam isu anak. Ibu bapa wajib bertindak matang dengan menolak tepi segala dendam dan iri hati terhadap pasangan atau bekas pasangan bilamana dalam hal melibatkan anak-anak. Dalam erti kata lain, tidak perlu memburuk-burukkan sesama lain seterusnya menuduh pihak ini dan itu tidak layak. Apabila pihak-pihak sudah betulkan mindset berkenaan hadhanah, barulah boleh berbincang atau melakukan apa-apa tindakkan lanjut.

Jika terdapat perintah Mahkmah Syariah, setiap ibu bapa harus berbincang untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi melaksana perintah mahkamah dengan mengambil kira kebajikan serta keselamatan anak-anak mereka.

Jika masih belum ada perintah Mahkamah atau masih dalam proses, ibu bapa perlu matang, berbincang serta toleransi dengan baik dengan hanya berasaskan kebajikan anak-anak.

Dalam tempoh PKP ini wujudnya isu-isu baru contohnya dalam situasi hak penjagaan diberikan kepada ibu dan pada masa yang sama, bapa diberi akses hak lawatan serta bermalam pada Sabtu dan Ahad. Perintah yang dikeluarkan itu haruslah dipatuhi. Namun dalam keadaan PKP ini, bagaimana kedudukan anak itu. Kalau anak duduk bersama ibu dan akan berpindah ke rumah bapa pada Sabtu dan Ahad.

Ia akan membahayakan keselamatan anak-anak malah si ibu atau bapa juga akan terdedah dengan wabak yang menular di negara kita ini

Oleh itu, ibu dan bapa perlu saling bekerjasama dan mengetepikan ego masing-masing dalam melaksanakan perintah mahkamah dan pada masa sama mengambil kira kepentingan anak-anak.

Malangnya, wujud lambakkan situasi dimana ibu atau bapa tidak dapat mengenepikan emosi demi kepentingan anak. Ada ibu bapa yang menculik dan kurung anak, mencederakan pasangan dan anak malah menjadi kebiasaan mengamuk depan mereka.

Dalam situasi ini, amat disarankan 1) Membuat repot polis atau kepada pihak Penguatkuasaan 2) Selamatkan diri dan anak-anak. Tinggal dengan keluarga atau kenalan yang lebih dipercayai. 3) Mendapatkan nasihat undang-undang berkenaan jaminan keselamat diri dan anak-anak.