Kelmarin saya melakukan lawatan mengejut ke kilang perabot di kawasan perindustrian perabot di Olak Lempit, Banting Selangor bagi melihat sendiri pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh kilang-kilang perabot. Saya akan pastikan bahawa semua subsektor di bawah kementerian saya yang dibenarkan beroperasi akan mematuhi SOP dengan ketat.

Untuk makluman subsektor perabot, pembekalan produk kayu-kayan dibenarkan untuk kemudahan di hospital, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan lain-lain berkaitan COVID-19.

Malah MKN sudah membenarkan aktiviti loading dan unloading di kilang dan gudang hanya melibatkan penghantaran barangan atau kargo dalam simpanan stok (stockpile) sedia ada untuk tujuan eksport sahaja dari jam 8 pagi hingga 8 malam pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

Saya juga sudah mengarahkan supaya agensi-agensi memastikan semua industri subsektor yang berkaitan mematuhi SOP. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komiditi (KPPK) akan memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri dapat dilaksanakan dan mencapai matlamat dengan segera. Kerana itu KPPK akan melaksanakan projek rintis bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memberi fokus kepada sektor perladangan sawit tidak lama lagi membabitkan 5,000 pekerja di seluruh Selangor dalam masa terdekat.

Bukan itu saja, KPPK juga merancang untuk bekerjasama dengan MITI untuk melancarkan lagi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) membabitkan subsektor lain di bawah sektor komoditi.

Ayuh mari kita sama-sama berdoa supaya negara yang kita cintai ini dapat keluar daripada pandemik COVID-19 dengan segera dan seluruh rakyat dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.

Oleh Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

Penulis ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Tulisan ini dipetik dari laman Facebook beliau.