PETALING JAYA : Dua lelaki warga Bangladesh nyaris ditimpa konkrit lebuh raya yang runtuh sedang dalam kejadian di Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE) dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.27 malam tadi, dua mangsa tersebut bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, ketika kejadian, dua mangsa terbabit yang berusia 20 dan 40-an itu sedang melakukan kerja-kerja di bawah lebuh raya berkenaan yang sedang dalam pembinaan.

Bagaimanapun, kata beliau, konkrit yang dalam pembinaan dengan ketinggian 12 meter itu terjatuh.

“Disebabkan kejadian itu, mereka hanya mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan konkrit.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh dekat sini menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Norazam, operasi menyelamat tamat kira-kira pukul 7.34 malam tadi.-UTUSAN ONLINE