KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini Bagaikan memberi sinar baru buat usahawan terjejas dan golongan B40 bagi meneruskan kelangsungan dan meningkatkan pendapatan mereka dengan pelbagai isentif yang disediakan.

Menterinya, Datuk Abd Latiff Ahmad, berkata antara insentif yang ditawarkan di bawah lima agensi Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) KPLB iaitu PERDA, KEDA, KESEDAR, KETENGAH dan KEJORA ialah pengecualian bayaran premis perniagaan, penangguhan bayaran sewa rumah, pengecualian bayaran sewa tanah, penangguhan bayaran balik pinjaman dan penstrukturan semula serta memperluas program keusahawanan. 
Beliau berkata, agensi lain seperti KEMAS dan JAKOA pula, menawarkan insentif seperti moratorium, bantuan dan kursus serta bantuan bakul makanan untuk masyarakat Orang Asli ini secara tidak langsung dapat memberi ruang untuk golongan seperti ini bernafas.

Katanya, di bawah MARA pula, tiga pakej bantuan disediakan iaitu Program MARA Prihatin, Penjadualan Semula Bayaran Balik Pembiayaan MARA dan diskaun sewa kepada penyewa premis perniagaan MARA.

“Antara inisiatif berkenaan ialah penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran selama tiga bulan selepas kelulusan, memanjangkan tempoh pembiayaan bayaran balik sehingga 36 bulan dan tiga bulan diskaun sewa sebanyak 30 peratus kepada 5,795 penyewa.

“Secara langsung keseluruhan sebanyak RM231 juta diperuntukkan oleh semua agensi di bawah KPLB dapat membantu golongan terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan manfaat kepada sejumlah 833,197 orang,” katanya melalui sidang media khas hari Ini.

Menurut Abdul Latiff, selain itu, KPLB turut mengambil pendekatan ke arah membawa pemasaran secara digital bagi produk usahawan luar bandar Yang boleh dipasarkan melalui Program Jana Niaga MARA Shopee.

“Menerusi peruntukan tahun semasa sebanyak RM1 juta, KPLB menyasarkan 1,000 produk usahawan luar bandar dipasarkan di platform e-dagang pada tahun ini.

“KPLB juga akan melaksanakan Program eKUD@KPLB iaitu program berbentuk karnival secara maya bermula September hingga Oktober ini,” katanya sekali gus meningkatkan keboleh pasaran produk usahawan luar bandar.

Pada masa sama, di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sebanyak 1,280 pembinaan rumah baharu dan 5,541 projek baik pulih rumah diluluskan sejak Januari hingga Mei lalu dan sedang dalam fasa pelaksanaan.

“Program ini akan terus dilaksanakan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara dengan sasaran tambahan sebanyak 200 projek bina baru dan 5,800 projek baik pulih membabitkan peruntukan sebanyak RM142 juta.

“Ia memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 ahli isi rumah miskin dan miskin tegar luar bandar, 4,000 kontraktor kecil dan pembekal bahan binaan untuk meneruskan perniagaan serta kira-kira 15,000 pekerja binaan mendapatkan sumber pendapatan,” katanya.

Selain itu, di bawah Program Latihan Kemahiran dan Kerja (PLKK) pula, seramai 2,224 peserta diluluskan untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran jangka pendek sejak Januari hingga Mei tahun ini.

Katanya, kursus di bawah PLKK itu akan diteruskan secara berperingkat dan disesuaikan dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Pelan Pemulihan Negara dilaksanakan.