PETALING JAYA – Punca sebenar insiden runtuhan perancah besi sebuah lebuh raya yang sedang dalam proses pembinaan di Sungai Buloh-Kota Damansara di sini akan dijalankan selama dua minggu bagi mendapatkan kepastian punca kejadian.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, siasatan tersebut akan diselaraskan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan pihak konsultan bebas bagi memastikan projek pembinaan tersebut selamat untuk diteruskan buat masa akan datang.

Beliau yang melawat tapak pembinaan lebuh raya tersebut di sini pada Isnin turut mengesahkan tiada kes kesesakan atau ‘overcrowding’ berlaku semasa insiden tersebut seperti yang dilaporkan sebelum ini kerana pembinaan perancah tersebut hanya melibatkan empat orang pekerja di lokasi kejadian.

“Kerja-kerja pembinaan juga kini dihentikan sepanjang tempoh siasatan berjalan. Kita perlu menunggu laporan hasil siasatan untuk menentukan tindakan selanjutnya.

“Saya meminta pihak LLM dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) supaya mengambil langkah tambahan untuk memastikan tempat pembinaan ini dijaga dengan baik dari segi keselamatan pekerja,” katanya ketika sidang akhbar selepas lawatannya itu pada Isnin.

Pada Sabtu, Prolintas menghentikan kerja di tapak pembinaan tersebut serta-merta berikutan insiden perancah besi atau ‘scaffolding’ jatuh di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Prolintas menerusi satu kenyataan pada Sabtu turut mengesahkan kejadian tersebut melibatkan projek pembinaan lebuh raya berdekatan Kota Damansara yang diuruskan syarikat pemaju Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd.

Mangsa tapak pembinaan kini meninggal dunia disebabkan trauma pelbagai dan disfungsi pelbagai organ akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd, berkata pihaknya akan memastikan kontraktor utama yang juga majikan bagi pekerja berkenaan menguruskan kebajikan kedua-dua mangsa.

“DASH akan memastikan kontraktor utama iaitu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bersama dengan sub-kontrator berkaitan yang juga majikan pekerja pembinaan terbabit menguruskan serta menyelesaikan urusan penghantaran pulang jenazah,” katanya,”.

Sementara itu, Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan, berkata pihaknya sudah memberikan arahan itu kepada syarikat konsesi Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn Bhd (PLDSASB).

Katanya lagi, kerja membabitkan perancah bagi struktur sementara di 10 lagi lokasi termasuk lokasi kemalangan hanya akan diteruskan sehingga kerajaan berpuas hati dengan langkah keselamatan diambil.

“Pada masa sama, perbincangan dan lawatan tapak bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); syarikat PLDSASB; jurutera perunding, Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB), jurutera perunding bebas, Ranhill Bersekutu Sdn Bhd (RBSB) serta kontraktor utama, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) turut diadakan pada Sabtu hingga hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tamat