KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan sedang meneliti memberi potongan kepada semua pembayar cukai pintu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai insentif meringankan beban golongan itu.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata ketika ini, beliau memutuskan pembayaran cukai pintu boleh dilakukan secara ansuran.
Katanya, mereka yang lewat membuat bayaran kerana mempunyai masalah kewangan tidak akan dikenakan penalti.
“Di saat susah ini, apa salahnya kita berkorban, apa salahnya pulangkan balik beberapa peratus kepada pembayar cukai dan perkara ini sedang diteliti dengan terperinci, tapi pada dasarnya, saya telah memberi persetujuan.
“Pembayaran ansuran, memberikan rebat dan menghapuskan penalti itu antara insentif kita lakukan untuk seluruh Wilayah Persekutuan.

“Walaupun Kuala Lumpur serius dari segi kesan (ekonomi) kepada warganya, kita juga yakin akan pulih secepatnya kerana di sini ada ruang mencari rezeki, menambah peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual secara langsung dalam program Bicara Naratif di RTM, malam ini.
Sebelum ini, kementerian itu memperkenal tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 untuk kemudahan serta mengurangkan beban warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 khususnya golongan B40 dan miskin bandar. – BERNAMA