Parlimen Malaysia sudahpun mempunyai segala kelengkapan yang mencukupi bagi melaksanakan persidangan Dewan Rakyat secara hibrid pada bila-bila masa, jika diperlukan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata pihak Parlimen juga dalam kini proses perolehan bagi menambah baik bahagian teknikal lain yang diperlukan sepanjang persidangan hybrid nanti.

“Pihak Parlimen sudah pasti cukup bersedia dengan kelengkapan yang ada dan ianya mencukupi bagi menampung sesi persidangan nanti. Walaubagaimanapun masih ada sedikit penambahan bagi melaksanakannya (persidangan secara hibrid),” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang tarikh tertentu untuk Dewan Rakyat bersidang dan jika mengikut Peraturan Mesyuarat, seharusnya notis 28 hari sebelum persidangan bermula akan dikeluarkan. Walaubagaimanapun ianya bergantung kepada hemat Ketua Majlis untuk pelaksanaan berikutnya.

Mohd Rashid berkata, pelaksanaan persidangan Parlimen secara hibrid adalah satu norma baharu yang akan diaplikasikan dan tidak mustahil serta akan menjadi sejarah kepada Malaysia, ketika berdepan pandemik COVID-19.

“Pada masa sama adalah menjadi cabaran baharu kepada Speaker, apabila kita akan berhadapan dengan ‘monitor-monitor’ untuk melihat Ahli-ahli Parlimen.

” Selain itu melalui persidangan Dewan Rakyat shibrid, terdapat beberapa peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang perlu dipinda, contohnya proses undian, dan semua pindaan yang diperlukan akan dimasukkan sebagai satu Senarai Tambahan (Addendum) kepada Peraturan Mesyuarat sedia ada. Sebagai contoh Parlimen melihat kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 62 Tatacara Parlimen.

“Pada 62(5) ada disebut Ahli-ahli yang tidak hadir di dalam sesuatu Majlis Parlimen tidaklah dibenarkan mengundi. Tetapi ia dibaca juga pada 62(1) iaitu tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri,” katanya.

Mohd Rashid berkata bilangan minimum untuk cukup korum bersidang ialah 26 Ahli Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sebelum ini, Dewan Rakyat (dengan ketua Speaker) pernah membuat ketetapan sehingga 80 maksimum (keberadaan di dalam Dewan Rakyat) tetapi jumlah sebenar dan kaedah masih diperhalusi di peringkat akhir.