Orang ramai tidak perlu bimbang untuk menggunakan minyak sawit bungkusan satu kilogram yang dipasarkan kerana ianya mematuhi kualiti dan piawaian standard ditetapkan.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata minyak sawit bersubsidi yang dipasarkan mematuhi semua standard yang ada.

“Kualiti minyak masak kelapa sawit bersubsidi dalam bungkusan plastik satu kilogram (kg) dijual di di pasaran tempatan dengan harga RM 2.50 menepati kualiti yang ditetapkan dan bukan minyak kitar semula”.

“Minyak sawit bersubsidi ini dipasarkan dengan harga murah bertujuan untuk mengurangkan kos dan beban sara hidup rakyat untuk penggunaan di rumah khususnya bagi golongan B40 sehingga M40.

“Adalah tidak wajar melabelkan minyak sawit bersubsidi tidak berkualiti mahupun menyebutnya sebagai minyak kitar semula,” katanya menerusi satu sidang bicara media tempatan.

Perkara ini juga mendapat perhatian Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir menyatakan harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg di pasaran dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Minyak masak plastik 1kg biasanya dijual dalam bentuk karton dengan berat 17kg (mengandungi 17 paket 1kg minyak masak).

“Ketika ini terdapat 49 kilang penapis serta 312 syarikat pembungkusan minyak masak beroperasi bagi bekalan minyak masak untuk kegunaan pasaran tempatan yang dianggarkan sebanyak satu juta tan setahun,” katanya.

Ahmad Parveez berkata, MPOB menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran bagi mematuhi segala standard yang ditetapkan.

“Setiap sampel minyak sawit meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan tokoferol),” katanya.