KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) masih memiliki pajakan selama 60 tahun, sehingga tahun 2067, ke atas tanah di mana terletaknya Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) buat masa ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, kerajaan setakat tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk LTSAAS, kepada mana-mana pihak. Ini kerana hartanah lapangan terbang adalah dianggap sebagai aset strategik kerajaan.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan juga ingin memaklumkan bahawa MAHB masih lagi memiliki pajakan selama 60 tahun, sehingga tahun 2067, ke atas tanah berkenaan terletaknya LTSAAS buat masa ini.

“LTSAAS adalah salah satu daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB selaras dengan perjanjian operasi di antara kerajaan dan MAHB yang dimeterai pada tahun 2009.

“MAHB bukan pemilik mana-mana hartanah lapangan terbang terbabit,” katanya melalui siaran akhbar yang diterbitkan.

Sehingga kini MAHB masih adalah pihak yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar LTSAAS menurut kenyataan daripada Kementerian Kewangan.

“Sebahagian tanah LTSAAS juga telah dipajakkan (sub-leased) oleh MAHB kepada Subang Skypark Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun (2007-2037), merangkumi pengendalian Terminal 3, tempat letak kereta dan hangarage.

“Sebarang usaha untuk memaksimumkan nilai aset LTSAAS tidak akan membabitkan penjualan hartanah.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan berita palsu dan khabar angin mengenai perkara ini, dan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang berbuat demikian,” katanya.

Pada masa sama Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berasingan berkata, setakat ini tidak ada sebarang keputusan dibuat oleh Kabinet untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Katanya, hak pengoperasian kekal di bawah Perjanjian Pajakan yang diberikan kepada MAHB untuk mengendali, mengurus dan menyelenggara termasuk menetap, mengguna dan mengawal LTSAAS sehingga tahun 2034 dan 2067.

“MAHB bertanggungjawab untuk mengembangkan LTSAAS sebagai hab aeroangkasa antarabangsa mengikut keputusan Kabinet pada 2 Mac 2005. Tidak ada keputusan lain yang dibuat untuk mengubah perkara ini.

“Kerajaan memahami dan mengulangi pendirian bahawa usaha dan pertimbangan sewajarnya diperlukan sebelum membuat keputusan akhir mengenai aset-aset strategik awam yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, seperti LTSAAS.

“Justeru itu, orang ramai diminta untuk berhenti daripada menyebarkan maklumat salah mengenai perkara ini atau tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkannya,” katanya.

Tamat