Adalah menjadi kelaziman sesetengah masyarakat beranggapan bahawa fasakh adalah penyelesaian terbaik bagi suatu perkahwinan yang sudah tiada persefahaman atau wujud pihak yang teraniaya kebiasaannya si isteri. Namun adakah benar anggapan tersebut?

Dalam menjawab persoalan ini, pasangan terutamanya perlu meneliti maksud dan tujuan sebenar fasakh tersebut.

Fasakh bukan perceraian tetapi suatu pembubaran perkahwinan melalui kuasa Mahkamah Syariah atas sebab-sebab dan alasan-alasan yang dibenarkan oleh syarak. Isteri mahupun suami berhak menuntut fasakh. Namun kebiasaannya Isteri yang menuntut fasakh kerana suami ada kuasa untuk melafazkan cerai secara talaq.

Oleh itu, kesan fasakh adalah Ba’in Sughra, bermaksud setelah mahkamah memutuskan pembubaran perkahwinan tersebut, ia tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru.

Menurut seksyen 52 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu membuat tuntutan fasakh. Antaranya termasuk :-

  1. Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun
  2. Suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan
  3. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih
  4. Suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun
  5. Suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk
  6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit
  7. Isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu.
  8. Suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
    (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
    (ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
    (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
    (iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
    (v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
    (vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
  9. Walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya
  10. Isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak
  11. Pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin
  12. Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

Dalam menjawab persoalan “adakah fasakh merupakan jalan terbaik bagi pasangan yang sudah tiada persafahaman dan teraniaya?”, jawapannya adalah TIDAK bagi pasangan yang hanya tak sefahaman dan sering bertikai.

Perlu difahami bahawa jika konflik rumahtangga hanya pertikaian yang berpanjangan serta kurangnya kasih sayang, pasangan diwajibkan untuk cuba mencari jalan perdamaian dengan cara berbincang atau menghadiri sesi kaunseling terlebih dahulu.

Namun jika wujud kemudaratan atau seperti mana yang dinyatakan dalam alasan-alasan fasakh, maka barulah tuntutan fasakh boleh dibuat.

Ini kerana fasakh disyariatkan supaya mengelakkan daripada kemudaratan yang akan ditanggung oleh isteri sekiranya ikatan perkahwinan diteruskan secara langsung memberi peluang kepada pihak isteri untuk menuntut pembubaran perkahwinan.

Selain itu, ia juga bertujuan menyelamatkan akidah pasangan dan anak-anak seterusnya dapat menghindarkan suasana yang tidak baik terhadap perkembangan fizikal, mental, dan emosi mereka.

Bagi suami pula, fasakh memainkan peranan sebagai peringatan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa membubaran perkahwinan jika si suami gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Prosidur dalam membuat tuntutan fasakh adalah seperti berikut;

  1. Perlu membuat pendaftaran kes di Mahkamah Syariah.
  2. Hadir pada tarikh prosiding kes di Mahkamah.
  3. Menyempurkan sebarang arahan Mahkamah seperti dokumentasi, saksi dan lain-lain.

Amat disarankan mendapat nasihat perundangan syarie kerana tuntutan fasakh adalah tuntutan yang berat serta memerlukan kepada penilitian yang telus. Oleh itu, tuntutan, alasan serta pembuktian adalah amat penting dan perlu diberi perhatian rapi.

Mengakhiri kalam, ingatlah bahawa perkahwinan perceraian bukan perkara yang remeh. Kelak kita yang berumahtangga pasti disoal berkenaan tanggungjawab serta tindak tanduk masing-masing. Oleh itu bagi menyelamatkan diri kita kelak, elakkan terburu-buru serta emosi dan bertindaklah mengikut landasan syarie yang telah disusun cantik dan sempurna oleh pencipta yang MAHA Cantik dan Sempurna.