BAITULMAQDIS – Israel akan hapuskan 800,000 dos vaksin Covid-19 yang tarikh luputnya hampir tamat andai tiada negara yang bersetuju untuk membelinya, lapor Agensi Anadolu.

Perbadanan Penyiaran Awam Israel (KAN) pada Isnin, tidak menyatakan jenis vaksin itu tetapi Tel Aviv sebelum ini dilaporkan telah membeli vaksin Pfizer-BioNTech.

Pada 18 Jun, Israel bersetuju untuk menghantar sekurang-kurangnya sejuta vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech kepada Pihak Berkuasa Palestin berdasarkan satu perjanjian.

Namun, Pihak Berkuasa Palestin membatalkan perjanjian itu kerana tarikh luput dos vaksin itu selain ia tidak memenuhi kriteria ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Sejak Disember 2019, wabak itu telah meragut lebih 3.92 juta nyawa di 192 negara dan wilayah, dengan lebih 181.3 juta kes dilaporkan di seluruh dunia, menurut Universiti Johns Hopkins. – Bernama