KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa menambah baik program minyak masak bersubsidi yang menjadi keperluan rakyat pada masa depan bagi memastikan subsidi itu boleh dinikmati golongan sasar yang layak tanpa mengenepikan golongan lain.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (MSM) diharap mampu menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu kilogram (kg) hingga lima kg yang mana mampu meringankan beban rakyat ketika berhadapan dengan pandemik COVID 19.

“Maka dengan pelaksanaan program itu nanti, harga minyak masak botol lima kg yang tidak bersubsidi dapat dikawal dengan harga silingnya tidak melebihi RM30 sebotol buat para pengguna.

“Sekiranya kawalan harga MSM itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik, kemungkinan rakyat memperoleh harga minyak masak lima kg yang lebih murah,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Beliau pada masa sama, sangat mengalu-alukan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Rakyat sememangnya sangat menantikan-nantikan pengumuman demi untuk meringankan beban mereka dalam keadaan pendamik COVID 19 dan perlaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN),”.

Menerusi pengumuman semalam, kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang MSM untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu hingga lima kg.

Melalui program itu, harga minyak masak botol lima kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol, selain menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg satu kg terjamin.

Tamat