Anak adalah anugerah terindah dan penyeri kebahagiaan dalam hidup berumahtangga. Namun apakan daya, hidup tak selalunya indah, cinta tak selamanya kekal.

Apabila berlaku perceraian, pihak yang selalunya menerima kesan adalah anak-anak. Selama ini anak-anak bebas mempunyai masa dengan ibu bapa, namun bila berlaku perceraian, mereka akan tinggal dengan salah satu pihak yang mendapat hak jagaan, selalunya ibu dan satu pihak lagi, ayah kemungkinan dapat meluangkan masa pada hujung minggu atau pada masa tertentu yang dibenarkan.

Kebanyakan yang berlaku hari ini, dimana anak-anak dijaga oleh ibu, namun bapa seringkali mengabaikan kewajipannya dalam memperuntukkan nafkah terhadap anak-anak, malah yang paling menyedihkan ada juga segelintir bapa yang langsung tidak pernah berjumpa dan bertanya khabar anak tersebut sehingga anak terlupa bahawa bapa mereka masih wujud.

Pentingnya para bapa mengetahui bahawa mereka wajib menjaga kebajikan anak termasuklah makan minum, pakaian, perubatan dan pendidikan walaupun telah berlaku perceraian dan anak tersebut tinggal bersama ibunya.

Fitrah sifat seorang ibu yang lemah lembut dan penuh kasih sayang, namun mereka juga insan lemah yang terpaksa mengumpul kekuatan untuk mengurus dan membesarkan anak seorang diri. Jika para bapa berterusan mengambil ringan dan sambil lewa soal nafkah anak-anak, sudah pasti ibu jugalah yang menanggung derita menggalas bebanan sehingga emosi ibu terganggu dan menyebabkan kebajikan anak akan terjejas.

BAPA PERLU PASTIKAN KEBAJIKAN ANAK TIDAK TERABAI

Islam menegaskan agar hambanya melaksanakan kewajipan yang diperintah oleh Allah s.w.t, begitu juga dalam konteks pemberian nafkah berdasarkan Firma Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

Kewajipan tersebut tidaklah membebankan kerana ianya adalah berdasarkan kemampuan bapa tersebut juga. Pada zaman Nabi S.A.W, seorang isteri Bernama Hind Binti Utbah, telah mengadu kepada Rasulullah akan suaminya iaitu Abu Sufyan. Ketika bertemu Baginda, Hind berkata, “Abu Sufyan adalah kedekut. Dia tidak memberikan yang cukup untuk anak dan saya, kecuali saya mengambilnya secara diam-diam. Nabi kemudian berkata: Ambil apa yang anda dan anak perlu secara munasabah.”

Kewajipan nafkah anak juga secara jelas diperuntukkan dalam dalam Seksyen 72, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan di negara kita iaitu:

“kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki untuk menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada di dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pendidikan sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”

Kesimpulannya, ibu bapa seharusnya ada sifat toleransi dalam menyelesaikan permasalahan rumah tangga, tidak wajar jika anak kecil yang tidak bersalah menjadi mangsa pengabaian terhadap hak dan kebajikan mereka. Dalam erti kata lain, tanggungjawab sebagai suami isteri telah terbubar dengan perceraian namun tanggungjawab sebagai ibu bapa tetap kekal.

Walaupun masih kecil, namun kelak anak akan faham siapa yang bersusah payah membesarkan mereka selama ini hingga menjadi insan berguna. Itulah pelaburan saham kita untuk kehidupan di akhirat kelak.