Kerangka skop mengambil peduli berkenaan kejiranan dan pimpinan setempat dalam Islam dapat mengelakkan berlakunya masalah putus bekalan makanan sewaktu PKP 3.0 ini dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Merujuk kepada kempen bendera putih, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pimpinan tempatan, ketua kampung, ADUN dan JKM perlu bergerak sehaluan mencari mereka yang memerlukan untuk dibantu.

“Kita sebolehnya tidak mahu berlakunya kes bendera putih ini, ianya seakan tidak ada mereka yang mengambil peduli dan cakna berkenaan keadaan setempat. Apatah lagi bakal melukakan hati jiran terdekat.

“Mengangkat bendera putih ini secara tidak langsung ia akan memberi persepsi negatif kepada jiran yang dilihat tidak prihatin antara satu sama lain. Macam mana ada yang angkat bendera putih, jiran kiri kanan tidak tahu ke masalah jiran? Ini boleh menimbulkan satu imej tidak baik kepada jiran tetangga.

“Jiran kena segera bantu, jangan sampai jiran angkat bendera putih,” katanya ketika ditemui semasa melancarkan Program Amal Kongsi Rezeki oleh Majlis Getah malaysia (MRC) dan Yayasan Amal Malaysia (YAM) di Legasi Sabasun HyperRuncit, Kg Baru hari ini.

Terdahulu, beliau tidak menolak kempen bendera putih yang akan memberikan gambaran negatif kepada kerajaan.

“Kita ambil pro and kon, positifnya orang tahu bila kita angkat bendera putih kita memerlukan, negatifnya pula seolah-olah rakyat setempat tidak dibantu oleh kerajaan.

“Kalau kawasan saya sendiri kita buat program bantuan dari dulu sampai sekarang, ketika PKP berganda permintaan. Kerajaan menyediakan hotline yang banyak itu cara kerajaan bekerja

“Bagi saya, saya lebih menyokong kita bantu rakyat dengan talian hotline kita boleh hantar barang tanpa mereka perlu mengangkat bendera putih,” ujarnya lagi.

Sebaliknya, beliau meminta mereka menghubungi wakil-wakil di kawasan Dewan Undangan Negeri untuk melaporkan kesulitan yang dihadapi.

“Kita tidak hanya boleh melihat pada skop kecil, saiz kereta Dan rumah, setengahnya mereka malu untuk meminta, kalau sebelum PKP ada kereta BMW, rumah banglow tapi keadaan berubah selepas PKP.

“Kini mungkin pejabatnya ditutup, bisnes tak dapat dijalankan, dan dia perlukan bekalan makanan, takkan nak angkat bendera putih, jadi ada altenatif, hubungi talian hotline untuk dibantu, Kita akan hantar bantuan, tanpa siapa pun akan tahu.

Tamat