KUALA LUMPUR: Satu garis panduan khas bakal dikeluarkan kepada penerima yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 bulan depan, bagi memberi lebih kelonggaran kepada golongan berkenaan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) kini sedang menyediakan garis panduan itu, dan akan dibentangkan di peringkat jawatankuasa berkenaan, sebelum dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita mungkin akan keluarkan garis panduan mengenai apa yang anda boleh lakukan selepas anda sudah menerima sepenuhnya dua dos vaksin berkenaan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, dengan penularan varian Delta, kita lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu lawatan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, hari ini.

Sementara itu, Khairy berkata, kebanyakan PPV di Lembah Klang akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin dua kali ganda pada minggu depan, bagi menampung pemberian dos kedua.

“Ini sekali gus membantu kadar vaksinasi harian sebanyak 300,000 dos untuk bulan ini, yang dijangka dapat dicapai bermula minggu depan,” katanya.