KUALA LUMPUR: Mereka yang tinggal dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan keluar ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata mereka hanya perlu menunjukkan bukti janji temu di aplikasi MySejahtera, kad vaksinasi atau SMS berkaitan tarikh vaksin kepada polis yang mengawal kawasan berkenaan.

Polis membenarkan pergerakan tiga orang termasuk pemandu untuk urusan berkenaan, katanya.

Beliau berkata untuk tujuan kecemasan atau kematian, kebenaran akan diberikan berdasarkan pertimbangan pegawai polis di kawasan berkenaan.