ALOR SETAR: Polis membuka kertas siasatan terhadap bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar kerana disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan awal mendapati terdapat beberapa gambar Ahli Parlimen tersebut dimuat naik dalam Facebook Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Nurul Amin Hamid memaparkan Mahfuz terlibat dalam program menyerahkan bantuan.

Katanya, dalam gambar itu, kelihatan Ahli Parlimen tersebut tidak mengamalkan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa program tersebut berlangsung.

“Kes masih dalam siasatan di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) 2021 kerana berkumpul di tempat awam.

“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Peraturan 17(1), PPPB 2021 kerana tidak memakai pelitup muka serta tidak menjaga penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam gambar yang disebarkan itu, Mahfuz dilihat turut duduk di atas pangkin bersama beberapa individu lain depan makanan selain sekadar meletakkan pelitup muka di bawah dagu.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) ketika dihubungi memaklumkan, beliau menghormati keputusan polis untuk menyiasat perkara itu dan sedia memberi kerjasama penuh.

“Kejadian itu berlaku di Kampung Alor Gandak dekat sini pada petang Jumaat baru-baru ini. Ketika itu, saya hadir bagi bertanya khabar kepada penduduk setempat dan menyampaikan bantuan kepada mereka.

“Ada yang mengatakan saya duduk di atas meja tetapi dakwaan itu sebenarnya tidak betul kerana itu adalah pangkin, sememangnya menjadi tempat duduk orang kampung,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan telah dijalankan oleh polis dan beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa itu.

“Saya harap polis percepatkan siasatan dan kalau kompaun juga perlu disegerakan. Saya harap polis layan seperti rakyat biasa,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE