6,429,150 dos vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech akan diterima melalui perolehan terus oleh kerajaan dan sumbangan Amerika Syarikat (AS), bulan ini.

Jumlah berkenaan sebanyak 5,428,800 dos melalui perolehan terus Kerajaan Malaysia, manakala 1,000,350 daripada Kerajaan AS.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata bekalan dos berkenaan daripada Kerajaan AS itu sudah diterima pagi tadi.

“Bagi AstraZeneca, selain satu juta dos sumbangan kerajaan yang diterima Jumaat lalu, kita sudah menerima sebanyak 586,700 dos melalui perolehan Kerajaan Malaysia.

“Pada Ogos dan bulan seterusnya, vaksin akan digunakan di bawah PICK adalah Pfizer dan AstraZeneca, tidak termasuk CanSino yang belum diterima tarikh penghantaran.

“Kita juga akan menerima satu lagi sumbangan 500,000 dos vaksin keluaran Sinovac daripada Kerajaan China yang akan tiba pada pertengahan bulan ini, sekali gus terus meningkatkan kapasiti dan kadar vaksinasi PICK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) yang dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, secara maya, hari ini.