Rakyat Malaysia diseru untuk hidupkan semula sistem kejiranan seperti dahulu, saling bertanya khabar dan bantu membantu bagi mengatasi amalan kibaran bendera putih.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata orang ramai perlu diingatkan berkenaan sebuah hadis sahih berkenaan kejiranan yang diriwayakan oleh Tabrani.

“Hadis berkenaan menceritakan bahawa tidak beriman denganku sesiapa yang tidur dalam keadaan kenyang sedang jirannya lapar di sebelahnya dalam keadaan dia mengetahui kelaparan jirannya”

” Ini menjelaskan tanggungjawab kejiranan untuk memastikan jiran berdekatan tidak kelaparan. Dalam suasana sukar tidak boleh bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan ada jiran yang tiada bekalan makanan.

“Dalam masa yang sama tentu ada jiran yang mempunyai lebihan bekalan kerana Allah Taala mencipta sistem kehidupan ini di mana-mana pasti ada yang kaya dan ada yang susah dan miskin,” katanya dalam satu ulasan di laman Facebook beliau tadi.

Menurutnya sebolehnya janganlah sampai berlaku ada jiran yang mengibarkan bendera putih meminta bantuan di sesuatu tempat kerana ia memberi gambaran awal seolah kejiranan tidak berfungsi dalam menangani permasalahan setempat.

“Hendaklah pada masa sama menjaga permuafakatan supaya dapat hidup aman harmoni tanpa menyebabkan hati mana-mana mana pihak tersentuh terutamanya jiran terdekat mahupun rakyat yang perlukan sokongan kini.

“para pemimpin masyarakat pula wajarlah sentiasa bergerak mencari dan menyelidik permasalahan rakyat yang susah agar tiada seorang rakyat pun tidak dibantu di saat kesusahan.

“Sesungguhnya tanggungjawab besar sebagai pemimpin akan dipersoalkan di hari Akhirat,” katanya.