PETALING JAYA – Industri kelapa sawit negara dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion setahun susulan masalah kekurangan tenaga buruh asing yang diburukkan lagi dengan situasi pandemik.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, industri huluan kelapa sawit sangat bergantung kepada buruh ­asing dan kekurangan tenaga kerja dalam sektor ini adalah sekitar 32,000 orang.

“Sehubungan itu, kementerian akan memberi fokus bagi pembangunan jentera ladang terutamanya untuk kerja penuaian buah sawit dan pengangkutan di ladang bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap buruh.

“Penggunaan mekanisasi secara meluas di sektor perladangan juga akan menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit yang dikaitkan dengan persekitaran kerja yang kurang menarik berbanding sektor lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang diadakan secara maya semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah MPOB, Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Dalam pada itu, Mohd. Khai­ruddin menjelaskan, sejak tahun 1993 sehingga tahun ini, MPOB telah memperkenalkan seba­nyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan untuk dikomersialkan oleh pihak industri, yang mana sejumlah 221 daripadanya telah pun dikomersialkan oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana.

“Teknologi disediakan meliputi pengeluaran bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, kejenteraan ladang, teknologi pengilangan serta formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

“Pengkomersialan teknologi MPOB telah menyumbang pendapatan dengan anggaran nilai pasaran melebihi RM5 bilion,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Parveez dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis perasmian berkata, sehingga akhir tahun lalu, terdapat 352,000 pekerja asing dalam industri sawit di negara ini.

“Antara teknologi diper­kenalkan dalam TOT kali ini adalah jentera pengangkut kecil untuk pemindahan buah di ladang yang bakal mengurangkan isu kekurangan tenaga buruh.

“MPOB membelanjakan sejumlah RM100 juta setahun bagi tujuan penyelidikan serta pembangunan dan kami percaya masih banyak ruang dalam industri ini yang boleh dipertingkatkan, khususnya dalam aspek mekanisasi serta Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya. – Kosmo!