KUANTAN: Pencerobohan Hutan Simpan Kekal Batu Talam, di Raub yang menjadikan kawasan itu sebagai ladang durian haram menyebabkan seramai 18 indivividu kini ditahan reman selama dua hari dengan perintah Mahkamah Majistret Raub bermula hari ini.

Kesemua mereka itu juga terbabit dalam memprovokasi pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Pahang yang menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam kenyataannya, berkata mereka didapati memasuki hutan simpan kekal itu tanpa izin dan melakukan provokasi melampau terhadap kakitangan jabatan itu yang menjalankan operasi penguatkuasaan membersihkan ladang haram.

“Sepanjang operasi, kakitangan jabatan mengalami kesulitan kerana tindakan pekebun terbabit yang melakukan provokasi. Mereka cuba menghalang kenderaan jabatan memasuki dan meninggalkan lokasi operasi.

“Jabatan Perhutanan kemudiannya membuat laporan polis dan memberikan rakaman video untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jabatan itu mengadakan operasi membersihkan ladang durian haram di hutan simpan kekal terbabit bersama dengan agensi kerajaan dan polis di kawasan seluas 101 hektar.

“Operasi ini dilakukan untuk memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dan menahan individu atau pekebun yang memasuki hutan simpan kekal tanpa izin.

“Jabatan juga merampas semua kenderaan dan barang yang ditemukan dalam kawasan hutan simpan,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, semua 18 pekebun itu dibawa ke IPD Raub untuk ditahan reman dan akan disiasat selanjutnya mengikut Akta Perhutanan Negara.

Operasi memusnahkan kebun haram durian yang sudah mengeluarkan hasil dalam HSK Batu Talam bermula kelmarin sehingga 2 Ogos ini membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk PDRM.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, berikutan tindakan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman, berkata pekebun itu termasuk seorang wanita, ditahan semalam.

“Mereka mulanya disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 427 kerana menyebabkan kerosakan, kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

JPNP berkata, operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam itu dilaksanakan pihaknya bersama agensi kerajaan negeri bagi operasi memusnahkan kebun haram durian yang diusahakan pekebun terbabit di sekitar daerah Raub.

Semalam, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Yasin, mengesahkan empat individu termasuk dua warga asing ditahan kelmarin kerana menceroboh kawasan hutan simpan kekal terbabit.

Operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang bermula pada kelmarin itu dijadualkan berakhir awal bulan depan.