Melalui pemindahan teknologi, dan kepakaran Malaysia berminat untuk mengembangkan lagi pasaran minyak sawit di Mesir kepada syarikat-syarikat negara berkenaan serta serantaunya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha sama tersebut akan memastikan bekalan minyak sawit Malaysia sentiasa tersedia di pasaran Mesir.

“Langkah itu juga akan mengurangkan masa menunggu, risiko perubahan harga dan risiko transaksi serta memastikan harga hampir sama atau setara dengan minyak sawit Indonesia,” katanya dalam majlis makan malam anjuran Pacific Interlink Sdn Bhd di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Dewan Industri Makanan dan Komoditi Mesir, Zakaria El-Shafie; Pengarah Urusan Pacific Interlink Group, Fouad Hayel Saeed Hanam dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd Karli.

Beliau kini sedang mengadakan lawatan kerja ke Mesir susulan perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini.

“Malaysia telah mengeksport sebanyak 155,747 tan minyak sawit ke Mesir tahun lalu, peningkatan kira-kira 83 peratus berbanding pada 2019.

“Oleh itu Malaysia amat menghargai sokongan Mesir terhadap minyak sawit negara yang menjadi pilihan Di negara berkenaan.

“Kami sangat berminat untuk memadankan pemain-pemain industri minyak sawit Malaysia dengan pemain-pemain industri yang berkaitan di Mesir, khususnya sektor pembuatan dan perkhidmatan makanan,” katanya.

Menurutnya Malaysia melihat Mesir sebagai hub pasaran minyak sawit yang kukuh dan terbesar di benua Afrika yang bakal menyumbang keuntungan kepada negara.

Beliau juga gembira bahawa struktur percukaian minyak sayuran di Mesir membolehkan minyak sawit Malaysia dipasarkan pada harga yang kompetitif.

“Sehubungan itu, kami merancang untuk menembusi pasaran Sudan, Libya, Algeria dan Yaman serta negara-negara jiran yang lain melalui Mesir,” katanya.

Sementara itu, Fouad dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada Mohd Khairuddin dan kementeriannya KPPK yang sentiasa memberi sokongan dan diberikan kepada syarikatnya serta pemain-pemain industri yang lain melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

“Seperti yang kita semua tahu, Malaysia merupakan hab penyelidikan utama bagi pembangunan produk minyak sawit yang tidak berkompromi tentang soal kualiti dan hari ini kita dapat lihat pelbagai produk yang menggunakan minyak sawit seperti kosmetik, ubat dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau menambah, MPOC sebagai agensi yang mempromosikan minyak sawit telah membantu semua pemain industri untuk meningkatkan nilai jualan mereka di seluruh dunia dengan begitu berjaya.

“Kejayaan yang dilihat hari ini adalah hasil peningkatan mendadak tahap kepercayaan pengguna terhadap minyak sawit dan mereka menyedari bahawa minyak sawit memberi nilai terbaik untuk wang mereka,” katanya.

Tamat