KUALA LUMPUR: Provokasi dan penghinaan terhadap Islam yang dilakukan ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dianggap keterlaluan dan sangat melampau.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat Kamaruzaman Mohamad, perbuatan pemimpin DAP itu memutar belit kenyataan Presiden Pas sehingga menghina Allah dengan perkataan ‘Kerajaan Allah’ perlu diambil tindakan tegas.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan menegaskan Islam merupakan agama bagi negara Malaysia.

“Tindakan yang melanggar perlembagaan dan menyentuh sensitiviti umat seperti ini akan mengeruhkan lagi keharmonian antara kaum di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin veteran DAP itu memuat naik catatan berkaitan ‘kerajaan Allah’ pada laman sosial dan blognya sehingga mencetus kemarahan umat Islam di negara ini.

Sedangkan, katanya,  tulisan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa Allah sahaja yang Maha Berkuasa untuk menghapuskan wabak Covid-19, adapun manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan.

Kamaruzaman juga berkata, perbuatan Kit Siang dilihat cuba menghasut bagi menanamkan kebencian kepada kerajaan sekali gus menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama.

Kata beliau mana-mana individu yang melanggar perkara itu boleh didakwa di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948 jika disabitkan kesalahan.

“Pas yang meletakkan Islam sebagai dasar dan teguh istiqamah mempertahankan kesucian Islam serta perpaduan ummah daripada dihina dan dicerca mana-mana pihak.

“Kebiadaban yang berkali-kali berlaku mesti dihentikan segera,” ujarnya.

Menurutnya juga sekiranya pemimpin DAP terbabit tidak berpuas hati terhadap kerajaan, usahlah dikaitkan dengan sensitiviti agama Islam. – sarawakvoice