PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan berkuat kuasa serta merta.

Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan itu akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Katanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

“Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.

“Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” katanya hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kedua-dua pelantikan itu telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, adalah diharapkan pelantikan itu akan meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik Covid-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan Kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

“Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabridan YB Hishammuddin di atas pelantikan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE