Kilang sarung tangan perubatan Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) terpaksa menghentikan sementara operasi di Klang, Selangor.

Menerusi satu makluman berkata, penutupan sementara itu terpaksa diambil bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Klang.

“Top Glove ingin memaklumkan bahawa kilang sarung tangan getah perubatan kami di Klang tidak akan beroperasi buat sementara waktu disebabkan pelaksanaan PKPD, sementara kami menunggu pengesahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan perkara ini,” katanya.

Top Glove menjelaskan, pihaknya berharap dapat menyambung operasi dengan selamat pada masa yang sesuai bagi menghasilkan sarung tangan perubatan getah yang sangat diperlukan oleh petugas barisan hadapan terutamanya pekerja penjagaan kesihatan di Malaysia dan seluruh dunia.

“Syarikat akan terus mematuhi peraturan dan undang-undang yang relevan serta prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19. Kami tidak akan berkrompomi soal SOP dan kesihatan terutamanya kesihatan pekerja. Kami komited untuk menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerja kami dan masyarakat di mana kami beroperasi,” katanya.

Terdahulu MKN memutuskan PKPD dilaksana di beberapa mukim di Selangor termasuk di daerah Klang membabitkan mukim Kapar dan Klang serta lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula Sabtu lalu sehingga 16 Julai depan.

Lokaliti berkenaan terutamanya di Selangor mencatatkan purata kes harian jangkitan COVID 19 sekitar 1800 ke 1900 sehari menyebabkan PKPD terpaksa dilaksanakan bagi menurunkan lengkuk trend jangkitan.

Tamat