Malaysia kini ke arah memberi penumpuan penuh untuk menjadi pengeluar biji koko tunggal dan berkualiti premium untuk jangka masa panjang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata di masa hadapan, untuk tempoh jangka masa panjang negara akan memberi tumpuan untuk menjadi pengeluar biji koko tunggal dan berkualiti premium.

“Malaysia sendiri sudah memastikan biji koko tempatan mematuhi Piawaian Malaysia, peraturan dan piawaian antarabangsa yang lain termasuk keselamatan makanan.

“Sektor koko Malaysia kini memainkan peranan penting dalam ekonomi negara. Koko secara khususnya menyumbang sebanyak RM6.23 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020 atau 0.1% kepada KDNK negara, ” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada sesi webinar Belgium & Malaysia- Partners Towards a Regional Sustainable Chocolate Industry.

Hadir sama Turut hadir pada sesi webinar ini adalah Duta Besar Belgium ke Malaysia Pascal H. Gregoire, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia Dr. Ramle Hj Kasin, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Koko Antarabangsa (ICCO) Michel Arrion dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Ravi Muthayah.

Beliau berharap industri koko dan coklat dapat ditingkatkan dan berharap supaya penggunaan teknologi terkini dapat mengubah rantaian nilai industri koko.

Katanya, menerusi webinar ini, kedua-dua negara iaitu Malaysia-Belgium dapat bertukar-tukar pengetahuan, yang dapat memberi manfaat kepada pengusaha koko dan coklat.