PAS yakin pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah pada waktu tepat dalam usaha membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menguruskan negara terutama menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kini berdepan dengan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, berkata, PAS yakin perlantikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebagai tepat berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang menteri dan Menteri Kanan serta pemimpin UMNO paling kanan dalam kabinet Perikatan Nasional (PN).

“Presiden PAS dan seluruh kepemimpinan serta ahli PAS mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ismail Sabri di atas perlantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini,” katanya dalam kenyataan media tadi.

Pada masa sama Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri itu kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Manakala Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula kini dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail Sabri.

Menurut Takiyuddin berkata, PAS turut mengucapkan tahniah kepada Hishammuddin yang dilantik sebagai Menteri Kanan.

“Beliau yang juga anggota kanan dalam kerajaan sebelum ini diyakini mampu berganding tenaga dengan semua anggota Kabinet lain ke arah membawa Malaysia lebih dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tamat