Kekecohan yang berlaku disebabkan provokasi pekebun durian haram menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub, Pahang bagi menjaga ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata beliau meminta semua pihak yang terbabit mematuhi peraturan undang-undang sedia ada dan memastikan ketenteraman awam terjaga.

“Pihak PGA di sana (Raub) adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas. PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

“Tentu sekali ada antara mereka yang tidak berpuas hati, namun mereka perlu menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa,” katanya selepas meninjau kawasan PKPD di Flat Sri Sabah, Cheras, hari ini.

Isu mengenai pencerobohan itu adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.

Mengulas tindakan beberapa ahli politik yang merentas negeri dan daerah bagi memberikan sokongan terhadap 18 pekebun durian yang ditahan selepas menggangu tugas anggota penguat kuasa, Acryl Sani berkata, polis sudah membuka kertas siasatan mengenai perkara itu.

Beliau berkata tindakan sewajarkan akan dikenakan jika terbukti berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara.

Semalam, Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek Ronnie Liu, Ahli Parlimen Bentong Wong Teck dan Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilihat hadir ke Mahkamah Raub bagi menyatakan sokongan mereka terhadap 18 pekebun durian yang direman itu.

Penahanan reman terhadap pekebun itu dibuat bagi membolehkan siasatan Jabatan Perhutanan Pahang berhubung dakwaan meneroka Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub untuk menanam Musang King.