RM8.3 billion hutang peneroka Felda bakal dilupuskan oleh kerajaan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula getah dan sawit sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8 bilion, yang bakal memberi manfaat kepada 92,441 peneroka.

“Penyelarasan ini merangkumi sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, membabitkan 52,180 peneroka.

“Pada masa sama ia meliputi pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021, bernilai RM78 juta, membabitkan 38,043 peneroka.

“Jumlah itu meliputi pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 671 peneroka,” katanya melalui berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 secara maya sebentar tadi.

Menurut Perdana Menteri melalui inisiatif ini, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

“Saya berharap dengan usaha yang diambil kerajaan ini, akan menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipat gandakan hasil serta pendapatan mereka.

“Ini sekali gus bakal mengupayakan pengurusan kewangan termasuk pinjaman mereka dengan lebih berhemat dan tidak lagi membebankan pada masa depan,” katanya.

Tamat