PASIR SALAK – “Saya mohon maaf sekiranya menyinggung ramai pihak”.

Demikian jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi selepas ditanya pemberita tentang isu pernikahan dirinya yang tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut meminta orang ramai agar memberi keadilan serta ruang untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan baik selain meminta menghormati privasi keluarga beliau.

“Sebagaimana yang tular saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya isu dikatakan mempunyai kaitan dengan saya dalam minggu ini menyingung mana-mana pihak.

“Saya mohon semua pihak agar memberi keadilan dan ruang untuk saya selesaikan isu ini dengan baik kerana ia sewajarnya ditanggani secara peribadi dan bukan untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Jelapang Padi Seberang Perak di sini hari ini.

Tambahnya, dia merasa amat kesal dengan isu berkenaan yang bersifat sangat peribadi.

“Isu sebegini sepatutnya tidak berlaku ia seolah berniat atau bermotif mahu mengaibkan atau menjatuhkan maruah saya sekeluarga,” katanya.

Menurut Che Abdullah, dia bersama peguamnya sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengaibkannya seperti yang tular di media sosial.

“Ketika ini saya dapat nasihat daripada peguam dilantik dan akan ambil tindakan terhadap pihak terlibat dan saya juga dinasihatkan untik tidak mengulas lanjut berkenaan perkara ini,” katanya.

Che Abdullah turut memaklumkan isu pernikahannya yang menjadi tular sejak beberapa hari lalu tidak menganggunya sedikit pun dalam menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri.

Terdahulu, tular di laman sosial gambar dan video berkenaan seorang timbalan menteri yang didakwa bernikah sekali lagi dengan seorang wanita yang dilangsungkan di dalam negara melibatkan juru nikah di Thailand.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand memaklumkan akan menjalankan siasatan termasuk memanggil seorang imam Masjid Kedai Baru, Sungai Golok yang menjalankan majlis akad nikah secara dalam talian yang didakwa membabitkan seorang timbalan menteri di negara ini. -K! ONLINE