ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan pelabuhan baharu akan dibina di persisiran daerah Yan, terletak antara Alor Setar dan Sungai Petani.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pembinaan pelabuhan baharu di Yan itu sudah mendapat kelulusan Kerajaan Pusat, dan turut merangkumi pembangunan berkaitan di sekitar pelabuhan berkenaan.

Dalam kenyataannya, Muhammad Sanusi berkata susulan itu, Lembaga Pelabuhan Kedah (KPA), akan ditubuhkan.

Katanya, selain pelabuhan baharu terbabit, KPA akan mengambil alih pelabuhan sedia ada di negeri ini seperti Jeti Teluk Ewa, di Langkawi, yang ketika ini diuruskan Jawatankuasa Pelabuhan Pulau Pinang (PPC).

“KPA juga bertanggungjawab menjaga kepentingan negeri, termasuk pungutan cukai dan bayaran.

“Dalam pada itu, kerajaan negeri mencadangkan Kedah dilibat urus dalam pembangunan pelabuhan di Yan dan memastikan pembangunan persekitaran tempatan menjadi agenda utama.

“Kesemua isu membabitkan persekitaran, sempadan pelabuhan, pembangunan kawasan darat dan pembangunan di kawasan sekitar mestilah sejajar Pelan Pembangunan Kedah 2035,” katanya.

Operasi Jeti Teluk Ewa ketika ini dikawal selia oleh PPC, menerusi perintah menteri sejak 1999. PPC mengeluarkan lesen kepada Kedah Cement Jetty Sdn Bhd, bertujuan menguruskan jeti terbabit.

Jeti Teluk Ewa, berada di kawasan seluas 45 ekar di bahagian utara Langkawi dan digunakan untuk membawa bahan mentah serta peralatan kegunaan kilang simen di Teluk Ewa, selain berfungsi sebagai lokasi mengeksport simen. – MSN