JOHOR BAHRU – UMNO mengharapkan empat perkara akan berlaku selepas menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas gagal sebagai Perdana Menteri terutama dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertama, Perdana Menteri akan melihat dengan jelas dan terbuka bahawa strategi dan gerak kerja mereka sebelum ini telah gagal sama sekali.

“Jadi, adalah sangat dangkal untuk terus bertahan dengan pelan atau pendekatan yang sama. Ini mesej besar yang mesti dihadam dengan berlapang dada.

“Kedua, penarikan sokongan ini dapat menghentikan sebarang desas desus, teka-teki atau apa-apa khabar angin berkaitan sokongan dan majoriti yang dipunyai Perdana Menteri. Penarikan sokongan ini akan membuka ruang yang telus untuk dilakukan penilaian semula kepercayaan dan keyakinan Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, ketiga, penarikan sokongan itu dapat menunjukkan dengan lebih tegas bahawa UMNO sebagai sebuah parti sangat serius dengan tuntutannya berkaitan kebajikan rakyat.

Malah katanya, sebarang tawaran jawatan kepada sesetengah pemimpinnya tidak akan mengubah pendirian UMNO yang mahukan perkara terbaik untuk masyarakat dan negara.

“Keempat UMNO mengharapkan wujud keyakinan atau harapan baharu bagi pihak rakyat. Pemimpin yang baharu sudah tentunya akan membawa bersamanya satu harapan dan jangkaan yang segar. Maka, strategi, pendekatan berbeza dan pelan yang lebih radikal adalah sangat diharapkan,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, penukaran pemimpin dalam tempoh krisis bukan sesuatu yang pelik atau tidak bertanggungjawab malah wajar terutamanya setelah seseorang pemimpin itu gagal untuk terus mengemudi keadaan dengan lancar dan meyakinkan.

Menurutnya, langkah itu sudah dilakukan di beberapa negara dalam tahun ini antaranya di Itali, Poland dan Slovakia yang menukar Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan dan Menteri Luar akibat kegagalan mengurus Covid-19.

Selepas ini katanya, sesiapa sahaja yang diangkat atau menawarkan diri untuk mengemudi negara akan memberikan komitmen dengan keseriusan yang jauh lebih meyakinkan.

UMNO katanya, sudah menyenaraikan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri dan tidak ada pihak menafikannya. – SINAR HARIAN