Malaysia bakal jadi pembekal makanan haiwan ruminan iaitu dedak berasaskan isirung sawit kepada Turki melalui kerjasama BRB Holding.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, hasil memorandum persefahaman dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Turki memberi banyak manfaat kepada kedua-dua negara termasuk pembekalan makanan haiwan hanya dari isirung sawit.

“BRB akan mendapatkan khidmat nasihat MPOC dari sudut bekalan dan pasaran untuk dedak isirung sawit (PKC) di Turki dan negara-negara Eropah terpilih,” katanya menerusi kenyataan.

“Syarikat berkenaan yang ditubuhkan pada 1994 lalu itu dipilih kerana terlibat aktif dalam pelbagai projek antarabangsa di lebih 100 buah negara merangkumi bidang penternakan.

“Kedua-dua pihak terbabit, ujar beliau, bakal memperincikan lagi bentuk kerjasama dari sudut teknikal dan bekalan minyak sawit Malaysia seperti mana yang sudah dipersetujui,” katanya menerusi satu majlis pemeteraian memorandum itu di Istanbul, Turki semalam.

Hadir sama Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Pasarannya, Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala BRP pula diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Harun Macit yang turut dihadiri Konsul Besar Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir.

Menurut beliau, MPOC jelasnya, akan membantu BRB dalam mendapatkan maklumat terkini dan penerangan mengenai faedah teknoekonomi makanan haiwan berasaskan sawit melalui pelbagai kaedah.

“Antaranya melalui penganjuran siri seminar dan program kesedaran berhubung kelebihan produk PKC itu kepada pemain sektor ruminan di seluruh Turki sendiri.

“PKC ada potensi besar dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari segi kandungan khasiat dan kos,” kata beliau.

Berdasarkan kajian dan penggunaan teknologi terkini penyediaan dedak untuk ternakan dengan menggunakan PKC adalah lebih kompetitif berbanding kaedah rumusan konvensional sedia ada yang lain.

” Ini termasuk kelebihan dari sudut penjimatan kos yang dijangka mampu memberi lonjakan dan meringankan beban pengusaha industri ruminan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Menurut beliau berkata, melihat kepada rekod sebelum ini eksport PKC dari Januari sehingga Mei lalu merekodkan sebanyak 730,000 tan dengan nilai sebanyak RM468,000 manakala secara purata dianggarkan sekitar 2.4 juta tan setiap tahun.

“Bagaimanapun rekod tahun lalu menunjukkan, Malaysia berjaya mengeksport sebanyak 2.6 juta tan dengan pasaran tempatan hanya memerlukan 20 peratus daripada pengeluaran PKC negara ini.

“Saya harap usaha yang sedang dan akan dilaksanakan MPOC dapat bantu perkembangan industri PKC negara kita dan seterusnya melonjakkan sektor itu,” kata Mohd. Khairuddin.