Dapatan awal mendapati terdapat lapisan nipis minyak sekitar radius 50 hingga ke 150 meter dari kapal yang berlanggar berhampiran Muar semalam selepas diperiksa oleh pihak Jabatan Alam Sekitar.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sampel tumpahan tidak dapat dijalankan kerana keadaan lapisan minyak yang nipis.

Menurutnya pasukan penyiasat JAS tiba di lokasi kapal MV Galapagos pada 2.20 petang kelmarin, bagi menjalankan siasatan.

“Melalui hasil temu bual dengan kapten kapal mendapati marine gas oil (MGO) sudah dipindahkan ke ruangan tangki lain. Bahagian kapal yang terbuka akibat perlanggaran juga tidak menyimpan MGO,” katanya dalam Facebook, hari ini.

“Perlanggaran itu menyebabkan ‘hydraulic line’ pecah dan minyak yang tumpah ke laut itu ialah minyak hidraulik dan kerja kawalan sudah dijalankan.

“Hydraulicline’ kapal berkenaan tidak berfungsi sewaktu perlanggaran dan pihak anak kapal tidak dapat menganggarkan jumlah minyak yang tumpah ke laut,katanya.

Namun melalui pemantauan setakat hari ini lapisan minyak yang berada di lokasi insiden agak nipis dan tidak tersebar luas ke kawasan lain.

“JAS akan meneruskan pemantauan di sepanjang perairan dan pantai terdekat bagi mengesan sekiranya terdapat kesan tumpahan minyak.

“Selain itu, JAS juga akan mendapatkan status kes tumpahan minyak dari masa ke masa daripada Jabatan Laut Wilayah Selatan. Sekiranya ada pengaktifan Tier 2 Kawalan Tumpahan Minyak, kerja kawalan serta pembersihan akan dilaksanakan,” katanya.

Semalam kapal tangki dan kapal kargo berlanggar dekat Muar, kira-kira jam 12.03 tengah malam namun tiada kemalangan jiwa.

Perlanggaran itu membabitkan kapal kargo dengan pendaftaran MV Zephyer Lumos dan kapal tangki dengan pendaftaran MV Galapagos pada kedudukan 14.1 batu nautika di barat daya Kuala Sungai Muar.