“Segerakan yang halal!” slogan yang lazim digunakan masa kini oleh pasangan yang hangat bercinta atau keluarga yang teruja untuk berbesan sehingga pernikahan di luar negara atau sindiket menjadi satu medium yang sudah biasa (common) digunakan. Sama ada bagi memudahkan proses pernikahan, tidak mendapat restu bapa atau apa jua alasan lain.

Tidak kurang juga kes pernikahan sindiket yang menular dalam waktu Pandemik dan PKP ini dimana pasangan atau keluarga tidak perlu mematuhi SOP PKP pihak Jabatan Agama Islam malah boleh bernikah dalam masa yang cepat dan singkat.

Dalam perkongsian ini, kita akan merungkai beberapa masalah atau isu yang timbul selepas beberapa tempoh jika pengesahan pernikahan tidak dibuat di dalam negara.

Secara asasnya, negara kita mempunyai sistem perundangan serta pengaplikasian yang lengkap khususnya dalam konteks ini berkenaan institusi kekeluargaan. Seperti satu garisan lurus yang panjang, begitulah pengaplikasian undang-undang kekeluargaan yang merangkumi daripada pernikahan, anak-anak, pernasaban & perwalian anak hinggalah harta pusaka.

Oleh itu, apabila satu pihak telah melangkaui (skip) satu syarat atau undang-undang, ia boleh menyukar dan menyulitkan beberapa urusan lanjut. Kita ambil contoh, satu pihak suami isteri bernikah di Selatan Thailand atau sindiket di dalam mahupun luar negara dan tidak mendapat sijil/surat perakuan nikah pejabat agama Negara Malaysia.

Dengan ini, status pasangan tersebut di negara ini bukanlah suami isteri yang sah kerana tidak berdaftar serta tidak mengikut prosidur sepatutnya. Rentetan itu pejabat agama, mahkamah syariah dan biro guaman syarie sering dibanjiri dengan soalan seperti “bagaimana kami nak “bin”kan anak dengan bapanya?” “Bagaimana keluarga kami hendak mewarisi harta pusaka?” dan “bagaimana perwalian anak-anak?”.

1. Seperti yang diketahui masyarakat umum, pendaftaran anak di JPN hanya akan dibuat dengan wujudnya Sijil Nikah negara Malaysia yang sah. Seterusnya jika anak tersebut sudah memasuki alam persekolahan, beberapa urusan seperti pendaftaran dan lain-lain akan menjadi sukar tanpa wujud dokumen pengesahtarafan anak.

2. Begitu juga dengan anak perempuan yang berhasrat untuk bernikah dimana pihak Jabatan Agama Islam memerlukan kepada wali nasab yang sah. Jika pengesahan nikah ibu bapa masih belum dibuat maka akan wujud masalah dalam membuktikan nasab anak perempuan tersebut.

3. Lebih malang jika wujud kematian dalam sebuah keluarga namun ibu dan bapa masih belum membuat pengesahan pernikahan di mahkamah syariah. Keadaan ini boleh menghalang atau menyukarkan pihak keluarga untuk mewarisi harta pusaka si mati kerana tidak wujud dokumen pernikahan ibu bapa serta pengesahtarafan anak.

4. Wujud juga keadaan di mana pasangan ingin bercerai namun gagal membuat apa jua tuntutan di mahkamah syariah atas sebab tiada rekod perkahwinan yang wujud antara pasangan tersebut. Ini secara langsung menghalang hak suami atau isteri untuk membuat sebarang tuntutan di mahkamah syariah berkenaan perceraian, harta mahupun anak-anak.

Disini saya nyatakan secara umum bahawa perkara pertama yang perlu dilakukan ialah PASANGAN PERLU MENDAFTARKAN KES PENGESAHAN NIKAH di Mahkamah Syariah. Dalam tempoh ini, pasangan perlu menyediakan segala dokumen berkenaan pernikahan seperti sijil/surat perakuan nikah, surat konsulat, visa dan lain-lain. Seterusnya, siasatan akan dibuat oleh pihak pejabat agama Islam dan juga mahkamah syariah.

Apabila siasatan telah sempurna dan pihak mahkamah dan juga pejabat agama Islam berpuas hati bahawa rukun nikah tersebut telah sempurna dan sah, maka pihak mahkamah syariah akan mengeluarkan perintah mengesahkan pernikahan tersebut seterusnya pihak pejabat agama akan mengeluarkan Sijil/Surat Perakuan Nikah negara Malaysia.

Selepas mendapat Sijil/Surat Perakuan Nikah tersebut, pasangan boleh membuat urusan lanjut berkenaan pendaftaran anak di JPN dan juga urusan-urusan lain.

Malangnya, jika pernikahan tersebut diisytiharkan sebagai tidak sah dan tidak mendapat keizinan untuk mendaftarkan pernikahan tersebut, maka pasangan dinasihati untuk mendapat nasihat perundangan dalam tempoh segera. Jika pasangan ini memperoleh anak, maka pasangan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk Pengesahtarafan Anak dibawah “persetubuhan syubhah” dimana pasangan yakin bahawa pernikahan mereka sah dan yakin telah bersama dalam keadaan sah sebagai suami isteri. Maka pihak mahkamah syariah akan meneliti situasi pasangan tersebut seterusnya memutuskan anak tersebut sah taraf dibawah persetubuhan syubhah atau tidak.

Sebagai kesimpulan, saya nyatakan disini bahawa wujud banyak situasi-situasi begini yang telah dan masih lagi berlaku. Ada pasangan yang sudah 2 hingga 3 tahun berkahwin dan memperoleh anak namun belum membuat pengesahan pernikahan, ada juga pasangan yang telah berbelas tahun dimana urusan pada waktu itu akan menjadi lebih rumit kerana kita perlu mencari dokumen-dokumen yang lama sehingga berbelas tahun. Apatah lagi bagi pasangan yang telah meninggal dunia namun masih belum membuat pengesahan pernikahan.

Oleh itu, selesaikanlah pengesahan nikah atau apa jua urusan berkenaan dengan segara sebelum keadaan menjadi lebih sukar untuk anak-anak dan keluarga kelak. Jika sudah segerakan yang halal, apa salahnya untuk segerakan juga urusan-urusan yang berkenaan.