Satu siasatan kini dibuat oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor, yang kini tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi media kenyataan semalam, CITF berkata, siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

Menurut CITF, petugas vaksinasi yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, malah perkhidmatan petugas yang terlibat boleh ditamatkan.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

“Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan dos dan suntikan vaksin sudah diberikan seperti yang sepatutnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut CITF, kes di Kedah dilaporkan pada Sabtu lalu di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang dikhaskan untuk anggota ATM dan ahli keluarga.

Proses vaksinasi di PPV berkenaan dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.

“ATM sudah membuat siasatan mengenai kejadian itu dan individu terbabit sudah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib sudah diambil ke atas petugas vaksinasi berkenaan,” katanya.

Selain itu, dua lagi dakwaan kes sama turut dilaporkan masing-masing di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, pada Sabtu lalu, dan PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Selangor semalam.

Menurut CITF, kes berkenaan dalam siasatan polis dan perkembangan mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa berkenaan.