Masyarakat di Malaysia terutamanya penganut agama Islam diingatkan supaya mempertingkatkan budaya berkasih sayang yang dianjurkan di dalam Islam.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali berkata, adalah perlu untuk mengingatkan masyarakat berkenaan budaya berkasih sayang serta nilai kesyukuran pada masyarakat awam melalui ibadah Korban.

“Ibadah Korban adalah manifestasi kesungguhan hamba Allah bersyukur atas nikmat harta yang diberikan oleh Allah. Justeru, berkorban adalah Sunnah Muakkadah yang sangat digalakkan kepada mereka yang berkemampuan menyembelih pada Hari Raya Korban dan 3 Hari Tasyrik

“Dalam masa yang sama nikmat tersebut dikongsi dengan masyarakat samada menerusi agihan daging atas dasar kasih dan sayang kepada jiran tetangga dan rakan taulan mahupun daging yang diagihkan kepada fakir miskin atas nama keprihatinan atas kesusahan mereka.

“Justeru sunat daging diagihkan kepada 3 bahagian. Satu bahagian untuk dimakan oleh keluarga, satu bahagian dihadiahkan kepada orang yang tidak miskin dan satu bahagian pula kepada fakir miskin,” katanya melalui satu posting di laman Facebook beliau.

Beliau berharap daripada bunga syukur ini bakal membuahkan hasil kerjasama, kesepaduan dalam pemikiran serta gerak kerja ekonomi yang baik serta sikap mengambil cakna terhadap jiran tertangga.

Menurutnya beliau berharap kepada mereka yang belum berkesempatan pada tahun ini, tanamlah azam dan tekad untuk berkorban pada tahun hadapan.

Tamat